SINARHARIAN.COM.MY - Pemuda Umno Bahagian Pasir Puteh melahirkan rasa kecewa dengan penularan gambar yang mengaibkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di laman sosial.
Ketuanya, Mohammad Yusri Ismail berkata, pihak berkenaan perlu mengambil tindakan ke atas pemilik akaun Facebook yang memuat naik gambar tersebut.
“Saya buat laporan ini supaya pelaku dikenakan tindakan yang secara tidak langsung memberi peringatan kepada orang ramai agar tidak sewenang-wenangnya menyebar perkara tidak baik di laman sosial.
“Saya bimbang jika perkara ini tidak dibendung, ia menjadi trend
menyerang peribadi pimpinan BN menjelang PRU14 nanti,” katanya kepada
pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di
sini, pagi tadi.
Gambar yang disebarkan itu memaparkan perdana menteri diapit dua
perempuan jelita yang mana salah seorang daripadanya menunjukkan aksi
lucah.
Yusri berkata, pemaparan imej tersebut jelas tidak selari dengan
tuntutan Islam apatah lagi ia membabitkan pemimpin nombor satu negara.
“Orang ramai mesti berhati-hati kerana negara kita sudah ada akta
berita palsu, jangan kita memandang remeh perkara ini dan menganggap ia
sebagai gurauan sahaja,” katanya.

